Selasa, 21 Oktober 2008

JOHAN PERTANDINGAN BERCERITA KEBANGSAAN 2008

KEJAYAAN GEMILANG DI PULAU MUTIARA

Pada tanggal 21 Oktober 2008, bertempat di Hotel Summit Bukit Mertajam, adik Alya Sabreena puteri cilik dari SK Permatang Tok Mahat sekali lagi berjaya dinobatkan sebagai johan Pertandingan Bercerita Tahap I. Ini adalah kejayaan yang dikecapinya buat kali kedua berturut-turut. Kejayaan adik Alya telah mengharumkan nama SKPTM dan negeri Pulau Pinang di persada kebangsaan.

Tahniah juga diucapkan kepada Cikgu Siti Hamidah yang membimbing dan melatih adik Alya tanpa mengenal erti penat dan jemu. Kejayaan mereka diharapkan menjadi pendorong kepada semua warga SKPTM untuk memperoleh kejayaan-kejayaan yang lain pada masa akan datang.

Tahniah ! SKPTM akan terus gemilang dan cemerlang !





PENILAIAN TERAKHIR 3K PERINGKAT KEBANGSAAN

Penilaian Terakhir !

Pada 16 Oktober 2008, seramai 5 orang pegawai penilai 3K peringkat kebangsaan telah melawat sekolah untuk membuat penilaian yang terakhirsebelum memilih pemenangnya. Sek Keb Permatang Tok Mahat akan bersaing dengan 3 buah sekolah lagi dari seluruh Malaysia yang telah layak ke peringkat akhir. SKPTM telah dinilai dalam aspek keselamatan, kesihatan dan kebersihan. Pihak sekolah yang telah membuat persiapan rapi sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawai-pegawai penilai .






Khamis, 16 Oktober 2008

PERTANDINGAN BERCERITA PERINGKAT KEBANGSAAN 2008

Pertandingan bercerita ini akan diadakan di Hotel Summit Bukit Mertajam bermula dari 19 hingga 21 Oktober 2008. Adik Alya Sabareena yang dibimbing oleh Cikgu Siti Hamidah akan sekali lagi mewakili Pulau Pinang dalam pertandingan ini. Marilah semua warga SKPTM, ibubapa dan tidak ketinggalan kepada sesiapa sahaja yang ingin memberi sokongan agar dapat hadir . Dibawah ini disertakan jadual pertandingan :-

Pendaftaran - 19 Oktober 2008
Saringan - 20 Oktober 2008
Peringkat Akhir - 21 Oktober 2008

Sama-samalah kita berdoa agar adik Alya Sabareena akan dapat mengulangi kejayaan yang dicapainya di Bumi Kenyalang !

Jangan lupa untuk memberi sokongan kepada adik Alya di hari pertandingan nanti ! SKPTM Strive For Excellence !

CERAMAH CEGAH SALAH LAKU JENAYAH DI SKPTM

Ceramah cegah salah laku jenayah yang dianjurkan oleh Unit Disiplin, Unit Bimbingan dan Kaunseling, dan Kelab Pencegahan Jenayah telah diadakan pada 8 Oktober 2008 di Dewan Seri Cemerlang. Ceramah ini telah disampaikan oleh dua orang pegawai polis dari Unit Perhubungan Ibu Pejabat Polis Daerah Jawi. Ceramah ini dilaksanakan dalam dua sesi mengikut tahap iaitu tahap satu dan tahap dua. Adalah menjadi harapan semoga murid-murid SKPTM dapat menjauhi salah laku di masa akan datang.