Selasa, 15 Jun 2010

:: SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN PERMATANG TOK MAHAT ::

Dari Tahun 1890 - 2008
Jenis, Asas dan Pengasas sekolah

Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat adalah sebuah sekolah yang asalnya sebuah sekolah yang diasaskan oleh pemerintahan Inggeris. Menurut cerita yang dikumpulkan oleh penduduk-penduduk kampung yang mengetahui sedikit sebanyak tentang sekolah ini. Sekolah Permatang Tok Mahat adalah merupakan sekolah yang tertua di Seberang Perai Selatan. Pada masa itu, penduduk di kampung ini terutamanya penduduk Melayu masih tidak mementingkan soal pelajaran, tetapi memandangkan penduduk kampung ini ramai dan semakin bertambah bilangannya, kerajaan pada masa itu terus mendirikan sekolah pada tahun 1890.

Bangunan sekolah yang pertama didirikan di atas sebidang tanah di Permatang Tok Mahat yang tanahnya tidak lebih 59 kaki panjang dan 28 kaki lebar. Sekolah ini dinamakan Sekolah Permatang Tok Mahat kerana mengambil nama kampung ini. Akan tetapi ianya lebih dikenali oleh penduduk tempatan dengan nama “sekolah itik” kerana bangunan yang pertama didirikan rendah sahaja seperti bangsal itik.

Pentadbiran Sekolah
A. Sebelum Tahun 1941

Pada peringkat awal sekolah ini didirikan, ia hanya mampu mengumpulkan seramai 20 orang pelajar sahaja dengan dikelolakan oleh Cikgu Tuan Lebai Saad. Dengan usaha beliau yang bersungguh-sungguh beliau telah berusaha mengumpulkan masyarakat kampung ketika itu. Hasilnya bilangan pelajar telah bertambah dari masa ke semasa. Bilangan guru-guru penolong kanan juga telah bertambah dari masa ke semasa tetapi bilangannya tidak diketahuai. Guru-guru yang membantu Tuan Lebai Saad telah membawa beberapa pembaharuan dan kemajuan kepada sekolah ini.

Di bawah ini senarai nama guru besar yang bertugas di sekolah ini sebelum tahun 1941.
a. Tahun 1890 - Tuan Lebai Saad
b. Tahun 1901 - Cikgu Ahmad
c. Tahun 1903 - Cikgu Awang bin Salleh
d. Tahun 1904 - Cikgu Hj. Othman
e. Tahun 1907 - Cikgu Md Hussin bin Bakar Ali
f. Tahun 1921 - Cikgu Ahmad
g. Tahun 1925 - Cikgu Othman bin Mat Ali
h. Tahun 1926 - Cikgu Jamal bin Salleh (SITC)
i. Tahun 1935 - Cikgu Omar bin Nasaruddin
j. Tahun 1937 - Cikgu Abdullah bin Hj. Ali (SITC)


b. Zaman Pemerintahan Jepun

Cikgu Abdullah bin Hj. Ali mula bertugas di sekolah ini mulai tahun 1937 dan telah tamat tempoh perkhidmatannya dalam tahun 1946. Purata guru yang bertugas ketika itu ialah seramai 6 orang termasuk guru besar. Dalam jangka masa itu, tidak banyak rekod-rekod atau catatan yang terdapat mengenai sekolah ini. Cuma pada zaman pemerintahan Jepun ini, sekolah Permatang Tok Mahat telah diberikan nama “Nippon Go Gakko” oleh perintah Jepun.

c. Sebelum Kemerdekaan 1945 - 1957

Nama sekolah ini telah ditukar kepada “Sekolah Melayu Permatang Tok Mahat”. Guru Besar – Guru Besar yang bertugas dalam tempoh ini ialah:
a. Tahun 1946 - Cikgu Zakaria bin Daud (SITC)
b. Tahun 1949 - Cikgu Yahya bin Che Ali (SITC)
c. Tahun 1952 - Cikgu Ibrahim bin Hj. Ali (SITC)
d. Tahun 1953 - Cikgu Ismail bin Ibrahim (SITC)

Cikgu Ismail telah menjadi Guru Besar sekolah ini sehingga tahun 1960. Tenaga pengajar yang terdapat di sekolah ini pada masa itu ialah seramai 6 orang termasuk guru besar.

d. Selepas Kemerdekaan 1958 - 1979

Guru-guru Besar yang bertugas dalam jangka masa 22 tahun ini ialah:
a. Tahun 1958 - Cikgu Ismail bin Ibrahim (SITC)
b. Tahun 1960 - Cikgu Ibrahim bin Hj. Ali
c. Tahun 1972 - Cikgu Md Isa bin Mohd. Noor
d. Tahun 1974 - Cikgu Md. Yusof b. Md. Isa
e. Tahun 1978 - Cikgu Othman b. Mohamad

Guru-guru yang mengajar masih lagi seramai 8 orang termasuk guru besar sendiri.

Jawatankuasa Jemaah Pengurus dalam tahun 1956 ialah:
1. Abdul Hamid bin Abdul Raof
2. Kapt. Abu Bakar bin Abdullah
3. Talib bin Ismail
4. Kee Yong Chin
5. Che Chik bin Ibrahim
6. Abdullah bin Ismail
7. Haji Othman bin Hj. Ishak
8. Ahmad bin Arshad
9. Abdul Rahman bin Saad
10. Abdul Raof bin Abdul Rahman
11. Yusof bin Senawi
12. Ismail bin Ibrahim (Guru Besar)

Purata murid dalam tahun-tahun ini adalah dianggarkan seramai 100 orang yang terdiri daripada murid lelaki dan perempuan. Pada tahun 1945, pemerintahan negara telah beralih semula kepada pemerintahan Inggeris. Maka secara tidak langsung, corak pentadbiran sekolah juga telah bertukar kembali kepada asalnya. Nama sekolah juga telah ditukarkan kembali kepada Sekolah Melayu Permatang Tok Mahat.

Tahun 1945 hingga tahun 1957
Oleh kerana bilangan murid yang semakin bertambah, maka rumah guru besar yang sebelumnya bersatu dengan bangunan sekolah telah dipecahkan untuk dijadikan sebagai bilik darjah tambahan dalam tahun 1949. Guru Besar-Guru Besar sekolah ini amat gigih sekali untuk memajukan serta meninggikan taraf sekolah ini. Antaranya yang gigih sekali berusaha untuk tujuan tersebut ialah Cikgu Yahaya b. Chik yang menggantikan Cikgu Zakaria bin Daud pada tahun 1949. Beliau telah mengemaskan semula kawasan sekolah yang agak terbiar terutama pokok buluh yang menjadi pagar sekolah yang telah mencapai ketinggian enam kaki. Beliau telah memotong pokok-pokok tersebut ke paras yang sepatutnya. Bersesuaian dengan dasar kerajaan pada ketika itu untuk menggalakkan permainan dan sukan, maka telah diadakan permainan dan sukan di kalangan murid-murid sekolah. Permainan dan sukan ini juga telah disebarkan di kalangan guru-guru.

Kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Cikgu Yahaya melatih murid-murid dan guru-guru telah mencapai beberapa kejayaan di dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan terutama sekali dalam permainan badminton.

Kerjasama ibu bapa adalah penting dalam meninggikan taraf pencapaian murid-murid . Menyedari akan hakikat itu, Cikgu Yahaya telah menarik minat ibu bapa terhadap sekolah dengan mengadakan hari “Ibu Bapa” atau lebih dikenali sebagai “tunjuk show” pada setiap tahun. Dalam pertunjukan itu bukan sahaja kerajinan murid-murid yang dipamerkan malah juga hasil kerja tangan dan hasil tanaman orang-orang kampung. Sambutan yang diberikan oleh masyarakat pada ketika itu amat menggalakkan. Pada tahun 1952, beliau telah bertukar ke sekolah lain. Pertukaran beliau ke sekolah lain itu adalah merupakan satu kehilangan bagi sekolah dan masyarakat sekitar kawasan ini.

Bangunan Tambahan

Berbagai usaha telah dijalankan bagi menambah bilik darjah untuk menampung bilangan murid yang semakin bertambah. Walaupun bilik guru besar dan dapur rumahnya telah dijadikan sebagai bilik darjah, tetapi ternyata tindakan itu tidak mampu untuk menampung pertambahan bilangan murid yang semakin bertambah.

Bilik-bilik darjah ini amat diperlukan. Memandangkan hakikat ini, pihak sekolah dan waris murid telah mengadakan satu perjumpaan. Hasilnya kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk mendirikan bangunan tambahan. Pihak waris murid telah berjaya mengumpulkan wang dari orang kampung dan dermawan-dermawan. Pihak RIDA pada masa itu juga telah membantu. Hasilnya terdirilah sebuah bangunan papan beratap zink yang mengandungi tiga buah bilik darjah. Ianya didirikan di sebelah belakang bangunan yang sedia ada. Bangunan tambahan ini siap dibina pada tahun 1956 dan telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Nibong Tebal pada tanggal 9 haribulan Mac, 1957. Upacara perasmian ini dihadiri oleh seluruh penduduk kampung dan beberapa jabatan lain termasuklah jemputan khas dari Jabatan Pelajaran.


Bangunan Lama ke Bangunan Baru

Memandangkan keadaan sekolah yang didirikan dalam tahun 1890 dan bangunan yang tidak bersesuaian lagi, maka pihak sekolah, ahli jawatankuasa kampung dan pihak parti-parti siasah telah merayu untuk mendapatkan bangunan yang baru di kawasan yang lebih luas.

Hasil dari permohonan dan desakan maka akhirnya kerajaan telah bersetuju untuk mendirikan sebuah bangunan baru di atas sebidang tanah lot 870, Mukim 9 seluas 6 ekar yang terletak kira-kira setengah batu dari bangunan yang sedia ada.

Kerja-kerja pembinaan bangunan baru ini bermula dalam tahun 1970 dan telah dapat disiap dan digunakan pada tahun 1972. Perbelanjaan pembinaan bangunan baru itu adalah dalam anggaran RM70,000. Bangunan ini mengandungi tandas dan pentas di bahagian bawahnya. Manakala bahagian atasnya pula mengandungi 3 bilik darjah, sebuah tandas, sebuah bilik rehat guru besar dan setor. Sebuah kantin, tempat letak basikal dan kereta juga disediakan. Dengan adanya bangunan baru ini, maka tiada lagi masalah timbul seperti kesesakan dan kepanasan. Walau bagaimanapun, padang sekolah ini masih belum dijadikan padang dan sekarang ini ianya masih merupakan ladang getah. Kawasan yang ada hanyalah cukup untuk kegiatan pendidikan jasmani sahaja.

Persatuan waris murid dan guru sekolah ini telah ditubuhkan pada tanggal 23 Julai 1972, dengan ahli seramai 53 orang. 13 daripada ahlinya telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa. Pada akhir tahun 1972, guru besar sekolah ini, iaitu Cikgu Ibrahim bin Ali, telah bersara dan tempatnya telah diganti oleh Cikgu Md Isa bin Md. Noor. Di bawah pentadbiran guru besar yang baru ini, beberapa perubahan telah dilakukan untuk meninggikan lagi taraf pelajaran dan juga bidang sukan. Beberapa pertubuhan juga telah ditubuhkan seperti Kelab Sains, Kelab Seni Lukis, Kelab Bahasa dan lain-lain lagi. Pengawas sekolah juga telah diwujudkan dan dipilih dari murid sekolah yang difikirkan layak.

Murid Yang Berjaya

Sejak disekolah ini diwujudkan, maka ramailah cerdik pandai yang telah dilahirkan dan sekarang ini memegang jawatan penting di jabatan kerajaan. Ada di antaranya yang menjadi kerani besar, pegawai kastam, pelawat agama dan lain-lain lagi.

Beberapa orang murid sekolah ini juga, telah mendapat biasiswa kerajaan untuk belajar di beberapa sekolah menengah berasrama penuh serta ada beberapa orang murid yang telah berjaya mencapai tahap yang lebih tinggi dan mendapat tempat di kolej-kolej dan universiti-universiti.


SOROTAN TAHUN 1972 HINGGA TAHUN 1980

Pada tanggal 6 Disember 1972, Cikgu Md. Isa bin Md. Noor, telah dilantik menjadi guru besar sekolah ini untuk menggantikan tempat Cikgu Ibrahim yang telah bersara. Beliau menjadi guru besardi sekolah ini sehingga 24 Mei 1975. Khidmat beliau terhenti di waktu ini kerana beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.

Bagi mengisi kekosongan tempat beliau, pada 25 Mei 1975, Cikgu Abdul Samad bin Haji Mokhtar telah dilantik menjalankan tugas guru besardi sekolah ini. Beliau menjalankan tugas tersebut hingga akhir tahun 1975. Jawatan guru besar kali ini disandang oleh Cikgu Yusoff bin Md. Isa. Beliau telah berkhidmat hingga 31 Disember 1981 kerana beliau telah bertukar ke Sekolah Guar Perahu.

Setelah beberapa orang guru besar bertukar ganti memberikan perkhidmatan mereka di sekolah ini, didapati taraf pelajaran semakin bertambah baik dari masa ke semasa. Ini dapat dilihat dari keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima yang keputusannya meningkat dari tahun ke setahun. Semakin ramai murid-murid yang berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah berasrama penuh yang dibantu sepenuhnya oleh kerajaan.

Pada tahun 1982, sekolah ini telah terpilih sebagai sekolah percubaan KBSR dari 320 buah sekolah seluruh Malaysia, Dua kelas Tahun 1 telah diterajui oleh Cikgu Saadiah binti Saad dan Cikgu Puan Zuraida binti Ramlee.

Pada tahun ini juga, bangunan tambahan telah dibina. Kos pembinaannya menelan belanja sebanyak RM40,000. Ia mengandungi sebuah bilik perpustakaan, sebuah bilik darjah dan sebuah setor. Pada masa itu murid-murid yang belajar telah bertambah kepada 280 orang.


CATATAN TAHUN 1981 HINGGA 1987

Selepas tahun 1980
Guru besar selepas ini ialah seperti berikut:
a. Tahun 1982 - Cikgu Aziz bin Abdul
b. Tahun 1984 - Cikgu Pn. Hajjah Saadiah binti Saad
c. Tahun 1987 - Cikgu Tn. Hj. Abd. Jamal bin Hj. Ghazali

Tahun demi tahun, beberapa orang guru besar telah bertukar ganti mencurahkan khidmat mereka di sekolah ini. Kesannya, taraf pelajaran sekolah ini didapati semakin menggalakkan. Ini terbukti dari keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima, di mana ramai murid berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah-sekolah berasrama penuh di seluruh negara.

Satu perkembangan yang ketara ialah pemilihan sekolah ini sebagai sekolah percubaan dalam pelaksanaan KBSR iaitu pada tahun 1982. Pemilihan sekolah ini merupakan salah satu daripada 320 buah sekolah rendah di seluruh negara yang menjalankan pelaksanaan percubaan ini.

Dua buah kelas tahun 1 telah dibuka. Guru asasnya ialah Puan Hajjah Saadiah binti Saad dan Puan Zubaidah binti Ramlee. Masing-masing mengajar tahun satu biru dan satu hijau.

Pada tahun yang sama juga, sebuah bangunan tambahan telah dibina. Bangunan ini dibina bersambungan dengan bangunan yang sedia ada. Bangunan yang berharga RM40,000.00 ini menyediakan sebuah perpustakaan dan sebuah bilik darjah. Pembinaan ini terpaksa dibuat kerana bilangan murid pada masa itu sudah mencapai 280 orang.

Tahun 1982 juga merupakan tahun pertama bagi Encik Abdul Aziz bin Abdul menyandang jawatan guru besar di sekolah ini. Beliau mula berkhidmat pada 1 Februari 1982 menggantikan En. Othman bin Muhammad yang telah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Guar Perahu.

Dari tahun ke tahun, sekolah ini mengalami pertambahan murid yang amat ketara. Bangunan sedia ada sudah ada, tidak dapat menampung bilangan murid yang bertambah ramai. Oleh itu, pada tahun 1984, satu blok bangunan pasang siap mengandungi empat bilik darjah telah dibina. Bangunan pasang siap ini mengandungi 4 buah bilik darjah. Pembinaannya telah memberi banyak kelegaan kepada pihak pentadbir sekolah di mana masalah kesesakan murid telah dapat diselesaikan.

Pada tahun 1985, sekolah ini telah mencatat satu sejarah baru di mana buat julung-julung kalinya, sekolah ini telah diterajui oleh seorang guru besar wanita. Beliau ialah Puan Hajjah Saadiah binti Saad. Beliau telah berkhidmat di sekolah ini hingga pertengahan tahun 1987 sahaja. Selepas tempoh itu, beliau telah bertukar ke Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh.

Pada tahun 1987, sekali lagi sekolah ini mengalami masalah bilik darjah kerana pertambahan murid yang begitu mendadak. Ketika itu, bilangan murid sudah meningkat kepada angka empat ratus orang. Menyedari akan perkembangan itu, satu projek pembinaan bangunan dua tingkat telah dilaksanakan di bahagian belakang bangunan yang sedia ada. Di samping itu, juga termasuk projek membina sebuah padang. Projek pembinaan padang tergendala buat seketika kerana masalah penyenggaraan. Bangunan baru itu akhirnya siap dan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Anuar bin Ibrahim pada 13 Februari 1989 yang merupakan Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu. Pada ketika ini, Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat diterajui oleh Cikgu Tuan Hj. Abdul Jamal bin Hj. Ghazali sehingga tahun 1996. Pada tahun ini juga, Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat telah mendapat guru besar yang baru iaitu Encik Zainon bin Yaacob kerana menggantikan Tuan Haji Jamal yang telah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Sunagi Acheh sebagai guru besar.

Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat pada ketika itu tersohor dengan kecemerlangan akademik dan persekitarannya, telah menjadi tumpuan para ibu bapa untuk menghantar anak mereka bersekolah di sini. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya kepadatan murid. Kerajaan sekali lagi telah memberi peruntukan untuk membina sebuah bangunan empat tingkat yang dilengkapi dengan sebuah Bilik Guru, sebuah bilik Pendidikan Seni, sebuah bengkel Kemahiran Hidup, sebuah bilik Muzik dan sembilan buah bilik kelas. Bangunan ini siap dan telah diduduki pada tahun 2000.

Pada tahun 2001, sekali lagi pentadbir Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat bertukar tangan. Sekali lagi Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat telah diterajui oleh seorang guru besar wanita iaitu Puan Hajjah Zaharah binti Rajuddin menggantikan En. Zainon bin Yaacob yang bersara.

Walaupun sebuah bangunan baru empat tingkat telah siap dibina, bilik kelas masih belum mencukupi untuk menempatkan muridnya yang mencecah hampir seribu orang. Pihak sekolah terpaksa mengadakan sekolah dua sesi untuk memastikan semua murid boleh ditempatkan di dalam bilik kelas dengan sempurna. Oleh itu, pada tahun 2001, kerajaan sekali lagi telah memberi peruntukan untuk membina dua blok bangunan empat tingkat untuk menempatkan murid seramai satu ribu orang lebih. Bangunan baru ini terdiri daripada ruang pejabat, sebuah makmal komputer, bilik kaunseling, bilik mesyuarat, dewan terbuka, makmal sains, pusat sumber sekolah dan lapan buah bilik kelas. Bangunan baru ini siap dan telah digunakan sepenuhnya pada tahun 2002 di mana ia telah berjaya menempatkan semua muridnya seramai seribu lebih orang dan menjadi sekolah satu sesi.

Pada tahun 2002, tampuk pentadbiran sekolah telah diambil alih oleh Puan Hajjah Rosnah binti Hamzah setelah guru besar terdahulu bersara pada bulan Mac 2002. Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat di bawah pentadbiran Puan Hajjah Rosnah telah mencipta banyak kecemerlangan sekolah baik dari segi akademik dan juga kokurikulum. Pada tahun 2005, buat julung kalinya, nama Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat gah di persada negara apabila berjaya dinobatkan sebagai Johan Anugerah Sekolah Harapan Negara peringkat Kebangsaan pada tahun 2005.

Setelah persaraan Puan Hajjah Rosnah pada bulan April 2006, di bawah pentadbiran Puan Saniyah binti Hashim dan dengan sokongan padu dan kerja kuat semua guru, sekolah telah sekali lagi mencipta nama di persada kebangsaan setelah dianugerahkan sebagai Sekolah Cemerlang di peringkat Kebangsaan pada tahun 2007.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hi