Selasa, 25 Mac 2014

MAJLIS MAKAN MALAM ALUMNI & ULANGTAHUN KE 125 SKPTM


               Alhamdulillah dengan rahmat Allah yang Maha Tinggi, pada tanggal 22 Mac 2014 bersamaan 20 Jamadil Awal 1435H, Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah berjaya menganjurkan suatu majlis gilang-gemilang "Majlis Makan Malam Alumni & Ulangtahun ke-125 SKPTM". Majlis dimulakan pada jam 8.30 malam dan telah dirasmikan oleh Dato Zainal Abidin bin Osman, Penasihat Menteri Luar Bandar dan Wilayah.

                Pelbagai persiapan awal telah dijalankan demi kelancaran majlis dan pihak sekolah turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Yang Berhormat Dato Mahmud bin Zakaria, ADUN Sungai Acheh, Dato Mohd Rosli bin Ramli, Pegawai Kemajuan Negeri Selangor selaku Penaung Alumni SKPTM, ahli-ahli perniagaan berjaya, beberapa individu serta syarikat-syarikat, ajk PIBG, ajk Alumni SKPTM, para waris serta tidak ketinggalan seluruh warga SKPTM.

               Program ini bertujuan menyatukan kembali bekas-bekas pelajar SKPTM melalui penubuhan Alumni SKPTM seterusnya dalam masa yang sama untuk meraikan ulangtahun ke-125 tahun sekolah. Alhamdulillah, program ini telah mencapai matlamatnya dengan tertubuhnya AJK Alumni SKPTM melalui suatu mesyuarat yang telah dijalankan pada sebelah petangnya bertempat di Bilik Mesyuarat Seri Permatang pada jam 4.00 petang.

               Pihak sekolah merakamkan penghargaan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang telah sudi berkongsi kemeriahan, menyumbang idea dan tenaga serta meluangkan masa bersama-sama warga sekolah dalam menjayakan majlis yang julung-julung kali diadakan ini. Insya-Allah, besar harapan warga SKPTM agar kerjasama, komitmen dan sokongan seperti ini akan berterusan demi kecemerlangan sekolah.

Berkelip-kelip si kunang-kunang,
Walau sekejap cantik sekali,
Pohon Kemaafan segala kekurangan,
Moga ukhuwah kekal abadi.....






















Tiada ulasan: